Isnin, 5 Julai 2010

Doa


Tuhan..
berikan aku ilmu
untuk memahami manusiaMu
yang sering kejam,
marah dan hanya berfikir
dari kehendak dan mimpi sendiri.
berikan aku kepekaan
buat merasa arus cinta,
kesenangan, kesedihan
atau kesengsaraannya,
kerana aku perlu memahaminya
sebelum aku mengundurkan
keterlibatan dengannya.

Tuhan
berikan aku upaya
untuk hidup bersama
paya, lembah, batu,
pasir, lumpur dan lautan,
kerana Kau buatkan aku,
makhluk bersamanya,

berikan aku ketenangan
untuk melihat pucuk jadi daun,
menunggu malam dan bintang - bintangnya,
mengikut musim - musim hujan, kemarau,
siput, penyu, dan burung - burung berkeliaran
kerana aku harus
tahu cara alam untuk
kusesuaikan diriku kepadanya

Tuhan,
berikan aku mata hati yang cerah
untuk kukenali diriku,
segala perubahan yang terkelip di detik,
segala perasaan yang tak mungkin kukawal,
segala arah waktu di depan jalan
kerana aku harus tahu mengapa aku disini,
kemana akan ku tuju...

Nukilan Sasterawan Negara
Muhammad Haji Salleh

Puisi ini begitu memberi makna.. kerana kita, aku, kamu, dia dan mereka sering terlupa mengapa aku disini..
kemana harus ku tuju...
siapa yang akan menemaniku...
dimana penghujungnya...
bagaimana harus ku tempuhinya...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan